mutakhir

Permaisuri Johor rancang sumbangan kepada 1,570 kanak-kanak PPRT

Oleh Omar Ahmad

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah merancang mengurniakan sumbangan kepada 1,570 kanak-kanak yang menetap di kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Baginda bertitah sumbangan adalah buku cerita kanak-kanak, buku mewarna, set kelengkapan mewarna serta peralatan permainan bagi memastikan masa lapang diisi dengan aktiviti berfaedah.

"Selalunya, barang makanan sering menjadi sumbangan utama. Tetapi, saya rasa, alat permainan serta buku aktiviti ini juga akan membantu ibu bapa menceriakan anak-anak yang tidak dapat keluar bermain seperti biasa," titah baginda yang dimuatnaik dalam satu hantaran di Facebook The Royal , di sini, hari ini

Baginda bertitah dan amat berharap jika ada pihak ingin menyampaikan sumbangan berupa buku bacaan, peralatan tulis dan barangan mainan kepada kanak-kanak.

Dalam hantaran itu, baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada dermawan yang tampil memberikan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Titahnya, sumbangan berkenaan disampaikan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang kemudian disampaikan kepada golongan sasaran.

Baginda amat memahami khususnya yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bertujuan membendung sepenuhnya penularan wabak Covid-19.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dermawan di atas sumbangan mereka. Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang bergantung kepada pendapatan seharian dan yang kehilangan punca pendapatan," titah baginda.

Penyampaian sumbangan itu, dilakukan secara berperingkat bermula dari Fasa Pertama PKP, Mac lalu antaranya penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada 300 golongan asnaf di pelbagai daerah di Johor.

Sumbangan barangan makanan turut disampaikan kepada 80 keluarga yang hilang mata pencarian dan warga asing yang mencari rezeki di daerah Johor Bahru.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 8:25pm
    d