mutakhir

52 ditahan hari pertama PKP fasa 3 dilaksanakan

Oleh Juwan Riduan

MEMASUKI fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar.

Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan dan ketegasan polis menahan seramai 52 individu pada hari pertama PKP fasa 3 dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis yang membuat sekatan jalan melakukan pemeriksaan ketat bagi mengelakkan orang ramai mengambil kesempatan melanggar arahan PKP sesuka hati.

Katanya, sebaik memasuki fasa baru ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengambil pendekatan melakukan tindakan lebih tegas berbanding sebelumnya yang hanya bersifat nasihat dan amaran.

“Buat masa ini, individu yang melanggar arahan PKP akan terus ditahan untuk siasatan sebelum dirujuk ke mahkamah keesokannya untuk pendakwaan mengikut Akta Polis dan Akta Penyakit Berjangkit.

“Kita akan bertegas dan tiada seorangpun yang akan terkecuali,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan sekatan jalan raya di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, petang tadi.

Habibi berkata, sepanjang PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu sehingga semalam, seramai 104 individu ditahan dan sebahagian besar sudah didakwa di mahkamah.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Polis selain Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan 2020.

“Kita berharap masyarakat lebih peka selepas ini dan memberi kerjasama dengan duduk di rumah sehingga arahan PKP ditarik semula,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai terhadap kesesakan yang disebabkan sekatan jalan di beberapa lokasi di daerah ini.

“Dua tiga hari lalu, jalan agak sesak dan bukan tujuan kita untuk melihat keadaan jalan sesak tetapi kita minta pegawai yang bertugas di lapangan periksa dengan teliti bagi mengelak mereka menipu dan ingkar PKP.

“Selain itu, kita mengambil inisiatif untuk memasang papan tanda sejauh 100 meter dari lokasi sekatan untuk memberi keutamaan kepada mereka yang terbabit dalam perkhidmatan perlu (essential services),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 10:34pm
    d