mutakhir

Terima kasih Cikgu Sahaimi

Oleh Redzuan Muharam

PRIHATIN terhadap masyarakat sekeliling mendorong guru Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai Pekan, Pahang, Mohamad Sahaimi Zainal mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan untuk disumbangkan kepada penduduk Orang Asli yang tinggal sekitar kawasan perumahannya.

Mohamad Sahaimi, 43, berkata, inisiatif itu dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan dengan tujuan meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan.

Guru subjek Pendidikan Moral, Muzik, Pendidikan Seni dan Visual itu berkata, penempatan di kawasan pedalaman menjadi tumpuannya untuk menyampaikan sumbangan kerana tidak mempunyai ketua kampung yang boleh mewakili mereka.

“Ini adalah cetusan idea saya sendiri dan mulanya dilaksanakan dengan tujuan membantu murid sendiri.

“Namun, perkongsian saya di Facebook mendapat maklum balas positif apabila ramai yang berhasrat memberi sumbangan bagi menjayakan inisiatif ini.

“Wang hasil sumbangan orang ramai itu yang saya gunakan untuk membeli barangan keperluan asas bagi disumbangkan kepada penduduk kampung terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sumbangan diagihkan setiap hari dengan maklumat penerima diperoleh daripada penduduk setempat.

Katanya, dia bergerak sendiri dengan menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Kota Perdana, Pekan pada sebelah pagi dan petang bergantung dengan masa serta jarak sesuatu kawasan.

“Sehingga kini, kira-kira 40 keluarga sudah menerima manfaatnya dan saya berterima kasih kepada semua individu yang menyumbang wang untuk membeli barangan keperluan.

“Apa yang dilakukan adalah sebahagian usaha saya dalam membantu kerajaan menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan dalam tempoh mencabar ini.

“Lagipun, PKP inilah masanya untuk kita cakna dan bersama membantu mereka yang memerlukan seiring dengan konsep kita jaga kita. Diharap inisiatif ini memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 11:19pm
    d