mutakhir

Zon Hijau bukan 'lesen' langgar PKP

Oleh Rosman Shamsudin

RATA-RATA penduduk menyifatkan walaupun daerah Muallim diumunkan sebagai zon hijau, namun bukanlah satu ‘tiket’ untuk melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penduduk Taman Slim Permata, Mohd Zamree Mohd Zainol, 43, berkata, walaupun tinggal di daerah zon hijau bukanlah alasan untuk beliau bergerak sesuka hati kerana PKP masih berkuatkuasa bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Katanya, bukan beliau sahaja tetapi penduduk di daerah ini perlu mengekalkan tahap pematuhan PKP fasa ketiga seperti fasa PKP sebelum ini supaya dapat mengekang sepenuhnya wabak yang mampu meragut nyawa sesiapa sahaja.

“Kita patut berterima kasih kepada barisan hadapan negara yang bertungkus lumus selama ini mengekang penularan wabak Covid-19 sehingga daerah ini diumumkan Zon Hijau.

“Saya berharap penduduk di daerah ini terus mematuhi PKP dan berkerjasama dengan pihak barisan hadapan negara yang bertugas di daerah ini tanpa mengira waktu dan masa bagi memastikan penduduk di daerah ini bebas daripada wabak Covid-19, ” katanya ketika ditemui, dekat Slim River.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengisytiharkan daerah ini satu daripada tiga daerah di negeri Perak termasuk Daerah Kuala Kangsar dan Kampar sebagai zon hijau iaitu bebas Covid-19.

Ahmad Faizal Azumu berkata, ia adalah petanda baik selepas daerah Kampar disenaraikan sebagai zon hijau daripada wabak berkenaan susulan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu.

Sementara itu, Ketua Perhubungan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kawasan Muallim, Shukeri Radzi Md Said, 50, berkata PKP wajib dipatuhi oleh orang ramai dan mereka perlu mengambil langkah-langkah keselamatan diri terutama ketika berada di pasar atau pasar raya.

Beliau berkata, berada di zon hijau bukanlah bererti ‘lesen’ kepada orang ramai untuk ingkar PKP tetapi sebaliknya mempertingkatkan lagi tahap kepatuhan untuk pastikan wabak Covid-19 hapus sama sekali.

“Orang ramai kena ingat bahawa daerah ini bersempadan dengan daerah zon merah, iaitu Hulu Selangor, Selangor dan hanya dipisahkan dengan jambatan Sungai Bernam di Tanjung Malim.

“Oleh itu, wajarlah orang ramai terus patuhi PKP kerana sedikit kelekaan atau kealpaan sudah pasti bakal memberi impak negetif kepada penduduk di daerah ini,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Manakala, penduduk Kampung Jaya, Adnan Mat Asi, 77, berkata, beliau bersyukur dan gembira apabila daerah ini diumumkan sebagai zon hijau oleh Menteri Besar Perak, semalam serta sebagai petanda baik sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama orang ramai sendiri yang perlu patuh PKP dengan caraberkhemah.

“Saya yakin jika amalan pematuhan PKP yang kita lalui sepanjang fasa satu dan dua dikekalkan serta ditingkatkan maka lama kelamaan rantaian wabak Covid-19 akan berjaya disekat sama sekali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 10:39am
    d