mutakhir

JAIP tangguh urusan akad nikah

Oleh Asrol Awang

JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) menangguhkan urusan akad nikah umat Islam selaras pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April ini.

Pengarah JAIP, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, penangguhan itu juga akan dilanjutkan hingga satu tempoh yang ditentukan kerajaan.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua rakyat Pahang terus mematuhi PKP serta menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan maslis akad nikah.

“Jabatan ini juga sedang meneliti perkara ini secara menyeluruh termasuk mendapatkan pandangan jabatan lain yang berkaitan supaya ia dapat dilaksanakan selaras dengan PKP di bawah Akta Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit dan Akta Polis 1988,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sebelum ini, JAIP meminta semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang sepanjang tempoh PKP bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menjangkiti atau merebak kepada orang lain.

Bagi menyekat penularan wabak Covid-19, JAIP menangguhkan segala urusan majlis akad nikah.

Baru-baru ini, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dilapor berkata, penganjuran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam Negeri Pahang ditangguhkan.

“Penganjur kursus yang didapati melanggar arahan pekeliling itu akan akan dikenakan tindakan.

“Oleh itu, semua pihak diminta akur dan mematuhi arahan sepanjang tempoh berkuat kuasa PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 10:53am
    d