mutakhir

PKP: 2 wanita merayau-rayau ditahan

Oleh Juwan Riduan

DUA wanita ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas merayau-rayau di Jalan Batu 7, Sindumin, Sipitang, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 37 tahun ditahan Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh bersama anggota polis ketika menjalankan tugas pemantauan Op Covid-19 ‘snap check’ pada 3.30 petang.

Champin berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek wanita itu menaiki kereta menghala dari Kampung Batu 1 ke kawasan Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR), Sindumin.

“Apabila ditahan dan ditanya tujuan hendak ke mana, suspek memberi alasan hendak pergi ke rumah rakannya yang tinggal di kawasan SAMUR, bagi tujuan mengambil kereta untuk dihantar ke Hospital Sipitang.

“Alasan yang tidak munasabah itu menyebabkan kedua-dua suspek ditahan kerana mengingkari PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai penagih dan pengedar dadah syabu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 37 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.

“Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar arahan tanpa alasan yang munasabah,” katanya.

Sehubungan itu, Champin menasihati orang ramai di daerah ini supaya patuh arahan PKP fasa 3 ini kerana polis bertindak lebih tegas menahan sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 11:25am
    d