mutakhir

Penjara 3 hari, denda RM1,000 main golf ketika PKP

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

TIGA lelaki yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bermain golf, semalam dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh iaitu Tan Chee Kean, 59, Low Teck San, 68, dan Eugene Wong Yat Hoe, 37, mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bermain golf ketika tempoh PKP di sebuah kelab golf di Batu Gajah pada 11.30 pagi semalam atas alasan beriadah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Pendakwaan juga dibuat di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana ia adalah kesalahan serius selain sebagai pengajaran kepada orang lain.

Manakala, peguam Parveen Sharma Krishnan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh merayu hukuman ringan atas faktor kesihatan tertuduh.

Dalam rayuan itu, Parveen memaklumkan Low yang juga pengurus kelab golf terbabit mempunyai penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, manakala Tan yang tidak bekerja menghidap penyakit darah tinggi.

“Sementara Eugene yang juga guru tuisyen perlu menghadiri program e-pembelajaran dengan 60 pelajar, selain mempunyai dua anak berusia 11 dan 12 tahun.

“Ketiga-tiga anak guam ini juga menyesal atas perbuatan mereka dan memohon maaf di atas kejadian itu,” katanya.

Nazratul Natrah sebelum menjatuhkan hukuman kecewa dengan perbuatan semua tertuduh kerana tidak serius dan seolah-olah mempermainkan undang-undang.

“Kami seperti tidak mengambil berat dengan pengorbanan barisan hadapan negara dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Sebagai orang berpelajaran yang memahami undang-undang, kita perlu memandang serius perkara ini ketika memasuki PKP fasa ketiga,” katanya.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan tiga lelaki itu ditahan selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bermain golf di sebuah kelab golf di Batu Gajah.

Mereka ditahan sewaktu tugas rondaan penguat kuasaan PKP oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah selepas didapati sedang leka bermain golf di kelab golf terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 1:33pm
    d