mutakhir

Mahkamah tetapkan tarikh baru perbicaraan Ku Nan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan menetapkan tarikh baharu perbicaraan pembelaan bagi kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membabitkan RM2 juta.

Timbalan Pendakwaraya Julia Ibrahim, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan itu berkata pada mulanya mahkamah menetapkan hari ini bagi sebutan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, tetapi dikosongkan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung lagi oleh kerajaan.

“Kami menerima e-mel daripada mahkamah pada 14 April memaklumkan bahawa prosiding hari ini telah dikosongkan. Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu,” katanya menerusi mesej WhatsApp.

Pihak pembelaan dijangka memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan apabila perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Tengku Adnan, 69, memberi keterangan beliau pada 5 Mac.

Beliau memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi apabila prosiding pembelaan berlangsung pada 17 Januari lalu.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintah Tengku Adnan membela diri terhadap pertuduhan ke atasnya selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie bagi kes itu.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, apabila menerima untuk dirinya sejumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang kemudian didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang mana beliau mempunyai kepentingan diri, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad, Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun, 2016.

Tengku Adnan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 2:10pm
    d