mutakhir

Pelepasan kargo bermula 20 hingga 24 April

Oleh BERNAMA

FASA keempat aktiviti pelepasan kargo akan bermula pada 20 hingga 23 April ini bagi memastikan aktiviti di pelabuhan utama negara lancar dan ruang kapasiti berada dalam keadaan sewajarnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, ia juga bertujuan memastikan pembekalan barangan keperluan kepada rakyat tidak terbantut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April depan.

“Kementerian Pengangkutan sentiasa komited dalam memantau pergerakan di pelabuhan utama negara dan membuat keputusan berhubung pelepasan kargo mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini. Katanya, sebelum ini, kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan dilaksanakan mengikut fasa bermula 27 hingga 29 Mac (fasa pertama); 4 hingga 7 April (fasa kedua) dan 13 hingga 15 April (fasa ketiga).

Wee berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sebelum ini untuk rujukan pengendali pelabuhan di Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Padang Besar, turut dikongsi kepada pelabuhan yang dimiliki oleh kerajaan negeri untuk manfaat bersama.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh diemelkan ke aduan@mot.gov.my atau WhatsApp ke 019-2907723 atau layari laman web khusus (microsite) di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian kementerian di 1800-88-7723 (8 pagi hingga 8 malam) atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di talian 03- 8888 2010.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 3:18pm
    d