mutakhir

Gagal lepas sekatan PKP, bawa syabu

Oleh Norsyazwani Nasri

PENAHANAN kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah seorang lelaki di Serian petang semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu pada mulanya cuba melalui sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di jambatan Sadong, Jalan Serian/Sri Aman pada 4.15 petang sebelum menahan kereta dipandunya untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, hasil pemeriksaan berkenaan ditemui beg dan di dalamnya mengandungi sembilan paket plastik lut sinar masing-masing mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan berat kasar 5.05 gram.

“Nilai rampasan itu dianggarkan RM600, dadah terbabit dipercayai untuk diedarkan kepada penagih di sekitar kawasan Serian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil saringan awal air kencing yang dilakukan didapati suspek positif dadah.

“Semakan mendapatinya mempunyai rekod dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Lelaki berkenaan kini ditahan kerana melanggar syarat PKP mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Bagi kesalahan berkaitan dadah pula disiasat mengikut Seksyen 39(a)(1) ADB 1952,” katanya.

Iswandy meminta masyarakat di Serian sentiasa mengikuti dan mematuhi arahan PKP bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu yang didapati ingkar arahan PKP.

“Polis akan bertindak tegas bagi membantu penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 3:47pm
    d