mutakhir

Enam pelombong emas haram ditahan

Oleh Mohd Rafi Mamat

MAMPU meraih hasil lumayan setiap hari mendorong enam individu melombong emas secara haram di Komparment 85, Hutan Simpan Tersang, Raub walaupun mengetahui tindakan itu menyalahi undang-undang.

Kerakusan mereka yang berusia berumur 46 hingga 56 tahun itu mengundang padah apabila diberkas Unit Penguat Kuasa Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan, Mohd Nashir Sabri Ibrahim bersama lapan anggota, semalam.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi bersepadu Pasukan Unify Enforcement itu turut disertai Pejabat Tanah dan Daerah Raub serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raub.

Beliau berkata, pihaknya menggerakkan operasi bersepadu pada 11 pagi semalam selepas mendapat aduan mengenai kegiatan melombong emas secara haram kawasan Hutan Simpan Tersang.

“Pasukan operasi membabitkan 20 anggota penguat kuasa yang terpaksa menggunakan jalan balak sejak dua kilometer untuk sampai lombong terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui lima lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar dalam rumah kongsi yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong emas secara haram dengan menggunakan kaedah palong.

“Kami turut menyita dua unit pam air, dua tong minyak, dua palong emas dan dua jengkaut digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu dan difahamkan mereka masih baharu memulakan kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, jentera dan peralatan melombong yang disita disimpan di Pusat Rampasan Barang Kes JPNP di Batu 18, Tersang, Raub bagi siasatan lanjut mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Menurutnya, enam lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan selanjutnya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun PKP dilaksanakan ketika ini, anggota penguat kuasa JPNP tetap bertugas melakukan rondaan dan serbuan bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindah hasil hutan dapat disekat.

“Jangan cuba melakukan sebarang kesalahan hutan kerana kami mempunyai anggota sentiasa memantau terutama di kawasan panas seluruh negeri.

“Ini terbukti apabila empat kes lombong emas haram di Kuala Lipis dan Muadzam Shah berjaya dibongkar sepanjang PKP dan saya memuji kesungguhan mereka bertugas pada ketika sebahagian mendapat pelepasan berikutan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 4:00pm
    d