mutakhir

LKIM jual ikan terus ke pintu rumah

Oleh BERNAMA

BAGI memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan inisiatif jualan ikan secara terus ke rumah melalui pembayaran tunai semasa serahan (COD) di seluruh negara.

Ketua Pengarah LKIM, Raja Khalid Raja Ariffin dalam satu kenyataan hari ini, berkata inisiatif jualan ikan itu digerakkan dengan kerjasama 44 persatuan nelayan seluruh negara di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Beliau berkata, orang ramai berminat boleh membuat tempahan ikan secara dalam talian menerusi www.nekmatbiz.com.my.

“Inisiatif memasarkan ikan secara terus kepada pengguna diharap dapat membendung kesesakan di pasar dan penularan wabak Covid-19.

“Saya menyeru orang ramai jangan membeli ikan secara panik kerana bekalan ikan masih mencukupi dan pengguna harus mempratikkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri sewaktu berkunjung ke Pasar Nelayan atau Pasar Segar Terkawal (PST),” katanya.

Raja Khalid berkata, LKIM akan memulakan inisiatif baharu dalam memasarkan jualan ikan dalam talian iaitu melalui aplikasi Shopee dan selepas ini pengguna boleh membeli ikan atau hasil laut melalui Shopee tanpa perlu ke pasar.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan ikan masih mencukupi sepanjang PKP dengan stok dalam pasaran kini sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa 155,000 tan metrik sebulan.

Menurutnya, sepanjang PKP, 64 pasar nelayan LKIM di seluruh Malaysia masih beroperasi seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua pasar nelayan ini beroperasi dari pagi sehingga tengah hari dengan kawalan keselamatan oleh penguat kuasa LKIM selain dibantu oleh pihak RELA, polis dan tentera.

“Ssepanjang PKP dilaksana, pasar nelayan mencatatkan jumlah pengunjung seramai 62,887 orang dengan hasil jualan RM2.55 juta,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 4:10pm
    d