mutakhir

Kes anak dera ibu bapa membimbangkan

Oleh Melvin Joni

KES keganasan rumah tangga di Sarawak bulan lalu bukan hanya membabitkan penderaan antara suami atau isteri tetapi juga anak serta ibu bapa mereka.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, statistik pihak polis mendapati sebanyak 21 daripada 60 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada Mac lalu membabitkan anak mendera ibu bapa.

“Apabila menyebut mengenai keganasan rumah tangga, kita cenderung mengaitkannya dengan kes yang membabitkan suami dan isteri.

“Pada Mac tahun ini, sebahagian besar kes berkenaan bukan hanya membabitkan pasangan suami isteri tetapi antara anak dan ibu bapa,” katanya yang dihubungi hari ini.

Fatimah berkata, tidak dapat memastikan sama ada wujud pola yang sama untuk kes penderaan sedemikian pada bulan sebelumnya kerana tidak mendapat statistik mengenainya.

Namun demikian, beliau berkata, kes keganasan rumah tangga di negeri itu menunjukkan penurunan tahun ini dengan 106 kes dilaporkan pada Januari, 80 kes (Februari), 60 kes (Mac) dan tidak ada kes sehingga 15 April.

“Apa yang menyebabkan penurunan kes keganasan rumah tangga selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?

“Mungkinkah disebabkan semua orang berada di rumah dan ini menjadi faktor mangsa menghadapi kesukaran untuk membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Fatimah, pada tahun sebelumnya kes keganasan rumah tangga di Sarawak terus meningkat dengan 486 kes pada 2018 dan 563 kes dicatatkan tahun lalu.

“Miri merekodkan kes tertinggi pada 2019 dengan 109 kes diikuti oleh Kuching dengan 72 kes.

“Tahun lalu, terdapat juga lebih banyak kes yang dilaporkan di kawasan luar bandar dengan 309 kes berbanding 254 kes di bandar,” katanya.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah dan perangai panas baran menjadi penyebab utama kes keganasan rumah tangga di negeri itu.

Fatimah berkata, isu keganasan rumah tangga harus ditangani secara holistik dan melalui hubungan dengan semua pihak yang berkepentingan.

Sehubungan itu, katanya, sejak Januari 2017, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bekerjasama dengan rakan strategik yang relevan untuk membuat prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengurusan keganasan rumah tangga bagi memastikan tindakan dan pengurusan yang cepat, efisien dan tepat.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai 88 pegawai untuk menangani kes keganasan rumah tangga di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 4:33pm
    d