mutakhir

Gadis UK siapkan lukisan ketika PKP [METROTV]

Oleh Zaid Salim

GADIS warga British yang terkandas di Pulau Perhentian, Besut memilih untuk tinggal di pulau peranginan itu kerana yakin dirinya lebih selamat sejak kerajaan Malaysia menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19.

Celine Grant, 18, berkata pada masa ini dia tidak ada perancangan untuk pulang ke negara asalnya United Kingdom (UK) walaupun tinggal seorang diri tanpa keluarga di negara ini.

Menurutnya, dia juga dihimpit kebimbangan dijangkiti Covid-19 yang semakin merebak di seluruh dunia termasuk di negara kelahirannya.

“Virus ini menyerang seluruh dunia termasuk negara saya sendiri dan tidak tahu bila wabak ini berakhir.

“Bagi mengelak dijangkiti wabak itu, saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri dalam rumah kerana berasa selamat tinggal di sini (di Pulau Perhentian),” katanya ketika ditemui di pulau berkenaan, semalam.

Menurutnya, dia datang ke pulau berkenaan untuk kerja sukarelawan projek penjagaan eko marin bersama Perhentian Marine Research Station (PMRS) pada pada 7 Mac lalu dan akan pulang pada 28 April ini.

Katanya, sepanjang berada di pulau itu, dia juga tidak menghadapi masalah tempat tinggal kerana disediakan kemudahan berkenaan.

“Disebabkan PKP, saya tidak boleh keluar ke mana-mana lalu mengisi masa dengan menyiapkan lukisan mengenai Pulau Perhentian bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya cinta kepada alam semulajadi.

“Saya sudah memaklumkan keadaan diri kepada keluarga di UK dan mereka juga sentiasa memantau perkembangan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada Pengurus PMRS, Nor Hidayah Halid, 28, kerana membenarkannya menginap di rumah berkenaan sepanjang tempoh PKP ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 5:03pm
    d