mutakhir

Pasangan kekasih kena jel

Oleh BERNAMA

SEPASANG kekasih dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini atas dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sabtu lalu.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Haikal Faaiz Ramlan, 25, dan Nur Aisyah Zakaria, 19, kedua-duanya penganggur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, dan penjara tiga bulan untuk kesalahan melanggar arahan PKP.

Mahkamah memerintah kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap 13 April lalu.

Dua tertuduh itu didakwa sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota polis dengan melarikan diri selepas diminta untuk berhentikan kenderaan kerana melanggar lampu isyarat di persimpangan tiga Rumbia, Alor Gajah, pada 7 malam, 12 April lalu.

Muhammad Haikal Faaiz dan Nur Aisyah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka juga didakwa berhimpun di tempat yang juga kawasan tempatan jangkitan bagi maksud untuk melepak pada 7.30 malam hari dan lokasi sama mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Muhammad Haikal Faaiz turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap dan didenda RM5,000 atau penjara enam bulan serta hilang kelayakan lesen memandu kelas D selama dua tahun bermula hari ini.

Ini kerana dia memandu kenderaan dengan cara melulu dan berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana melanggar lampu isyarat, sekatan jalan raya dan melawan arus.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Rembia-Kendong, Alor Gajah pada waktu dan hari sama mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000.

Lelaki itu turut mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk diri sendiri.

Mahkamah menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi sebelum menjatuhkan hukuman.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika siasatan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, pada 2.30 petang, 13 April lalu, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 5:49pm
    d