mutakhir

Guna penghantar makanan untuk jual dadah

Oleh Ruwaida Md Zain

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor merekodkan enam kes berkaitan dadah membabitkan penghantar makanan serta barangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, hasil soal siasat, pihaknya mendapati penghantar makanan atau barangan tidak tahu apa isi kandungan yang dibawa.

“Berkaitan kes seperti ini, kami tahan penghantar makanan atau barangan ini untuk mengesan siapa pengirim dan siapa penerima.

“Contoh, kes Gombak yang mana dalam roti canai yang ingin dihantar itu ada dadah jenis ganja (kanabis).

“Hasil siasatan kes ini, kami berjaya mengesan dan menahan pengirim serta penerima. Penghantar ini tidak tahu (barang yang dihantar) sebab dia cuma ambil upah menghantar saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Bagaimanapun, menurut Sundralingam, sekiranya penghantar didapati bersubahat, inbdividu terbabit juga akan disabitkan kesalahan.

“Kami beri amaran juga pada penghantar, berhati-hati dan pastikan siapa pengirim barang atau makanan itu.

“Jika kedai, restoran atau individu tidak dikenali. Jangan terima barang atau makanan kiriman mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sundralingam memaklumkan, JSJN Selangor menahan 407 individu yang terbabit dengan 277 kes pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sepanjang PKP ini.

“Daripada jumlah itu, 19 kes dengan 32 tangkapan dibuat membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

“Kami akan terus menempatkan elemen narkotik di setiap sekatan jalan raya bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Menurut beliau, semua kenderaan mencurigakan terutamanya yang ada kaitan dengan perkhidmatan penghantaran makanan dan barang akan diperiksa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 6:07pm
    d