mutakhir

Kena penjara pecah kedai ketika PKP

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

DUA penganggur yang melakukan kegiatan pecah kedai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhi hukuman itu terhadap A Rajes, 34 dan M Munian, 47 dari Bahau selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh bersama-sama pada 1 tengah hari 7 April lalu dengan curang melakukan pecah kedai dan mencuri wang kertas dan syiling kepunyaan pemilik kedai di Taman Rekreasi Bahau.

Justeru, kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mereka juga turut dihukum penjara selama 30 hari selepas mengaku salah atas kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam mengarahkan kesemua hukuman penjara kedua tertuduh berjalan serentak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 6:59pm
    d