mutakhir

Kena tahan melepak bawah blok PPRT

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN lima lelaki berusia 18 hingga 36 tahun melepak di bawah Blok A Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Putra Damai, Kelana Jaya, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) awal pagi ini.

Mereka antara lapan orang yang ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lima lelaki terbabit ditahan jam 2.10 pagi selepas gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakan mereka ketika berada di luar rumah.

Menurutnya, selain itu, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di Jalan Meranti, Sri Damansara jam 11.15 pagi semalam kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya ketika berada di luar rumah.

“Seterusnya polis menahan seorang wanita berusia 26 tahun jam 7.40 malam semalam ketika menaiki teksi di sekatan jalan raya Lebuhraya Pantai Baru (NPE) plaza tol PJS 2 Taman Datuk Harun kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya ketika berada di luar rumah.

“Polis turut menahan lelaki berusia 32 tahun jam 9.30 malam semalam ketika menunggang motosikal di susur keluar Jambatan Motorola kerana gagal memberi alasan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa ketiga.

“Kegagalan mematuhi arahan membolehkan mereka ditahan dan seterusnya didakwa di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 8:17pm
    d