mutakhir

Boleh nikah di Selangor, jika dibenarkan JAIS

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran khas akad nikah itu diberikan selepas mengambil kira situasi semasa dan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kebenaran khas ini diberikan kepada pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin yang mempunyai alasan munasabah dan selepas diluluskan Pengarah JAIS untuk meneruskan perkahwinan ketika tempoh PKP.

“Akad nikah perlu dilakukan tanpa kehadiran pihak seperti mana keperluan mengikut Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi JAIS.

Menerusi kenyataan itu, Mohd Shahzihan turut memaklumkan bahawa tiada Kebenaran Berkahwin baharu akan dikeluarkan jabatan itu sepanjang tempoh PKP.

Sebelum ini, JAIS menangguhkan proses akad nikah dan kebenaran berkahwin susulan PKP bagi mengekang penularan COVID-19 dan arahan itu dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan negeri akan mengumumkan garis panduan serta kaedah baharu mengenai tatacara akad nikah di negeri itu sekiranya PKP dilanjutkan sehingga Aidilfitri.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, setakat ini, kerajaan kekal dengan keputusan menangguhkan sebarang urusan berkaitan pernikahan dan perkahwinan selagi PKP masih berjalan.

“Tambahan pula, kita akan menyambut Ramadan tidak lama lagi dan kebiasaannya tiada pernikahan dijalankan dalam tempoh ini.

“Bagaimanapun, sekiranya PKP ini disambung, kita akan umumkan kaedah serta garis panduan baharu untuk tatacara akad nikah di Selangor,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 9:23pm
    d