mutakhir

'Essential services' konon...

Oleh Juwan Riduan

CUBAAN penyeludup menggunakan alasan perkhidmatan penting atau essential services dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyeludup minuman keras bernilai RM7.4 juta di Sabah, digagalkan polis, semalam.

Minuman keras sebanyak 5,070 kotak itu dimuatkan dalam dua lori dan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan dalam sekatan jalan raya di Jalan Pekan Menumbok, dekat Beaufort, pada 8.15 malam.

Dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40 tahun yang juga pemandu lori berkenaan turut ditahan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, bertindak atas maklumat, PPM Labuan menahan dua lori terbabit ketika melalui laluan essential services dalam sekatan jalan raya itu.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lori berkenaan ditahan untuk diperiksa kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua lori itu, polis menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis sebanyak 5,070 kotak bernilai RM7.4 juta.

“Penyeludup ini menggunakan kesempatan essential services yang dibenarkan kerajaan dalam PKP untuk menjalankan aktiviti penyeludupan mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Mazli berkata, semua minuman keras itu diletakkan di ruang kargo barang yang ditutup dengan kanvas berwarna hijau.

“Siasatan lanjut juga mendapati semua minuman itu dipercayai cuba diseludup keluar (dari Labuan) ke tanah besar Sabah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata, pihaknya merekodkan lima kes seludup sepanjang tempoh pelaksanaan PKP setakat ini.

“Lima kes penyeludupan ini berlaku di Semporna (tiga kes), Tawau dan Labuan (masing-masing satu kes) membabitkan seludup minuman keras, bahan basah dan diesel.

“Sehubungan itu, polis akan sentiasa menjalankan operasi mencegah sebarang jenayah penyeludupan, meskipun kita juga sedang bekerja keras untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 9:45pm
    d