mutakhir

Perak lancar platform digital jual beli juadah Ramadan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

DIGITAL Perak Corporation Holding (DigitalPerak) membangunkan platform digital https://digital.perak.my bagi memberi kemudahan kepada peniaga dan pelanggan yang mahu menempah juadah berbuka puasa menjelang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan serta memangku Porfolio Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, platform digital berkenaan akan mula beroperasi hari ini untuk pendaftaran peniaga, manakala untuk tatapan pembeli pula pada 1 Ramadan nanti.

“Laman web berkenaan akan memaparkan direktori maklumat peniaga yang berdaftar dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta menu Ramadan dan harga makanan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Nolee Ashilin berkata, pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Digitalperak menerusi program S.M.A.R.T Iftar@Perak turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda), Grab Malaysia (Grab) melalui GrabFood serta sistem Yezza.

“Satu kategori khas di platform Foodpanda dan grab akan dipamerkan di aplikasi masing-masing.

“Di bawah program S.M.A.R.T Iftar@Perak, Foodpanda dan Grabfood bersedia untuk memberikan diskaun sebanyak 5 peratus daripada di atas pihak syarikat untuk komisyen makanan yang dikenakan ke atas pihak vendor ( 25% daripada 30% caj biasa ),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan usaha komuniti untuk menjalankan jualan secara atas talian dan perkhidmatan penghataran di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri juga menggalakkan restoran yang dibenarkan untuk beroperasi menjalankan kerjasama dengan peniaga lain untuk servis pick-up di premis yang dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini NSTP melaporkan, Perak akan melaksanakan konsep bazar Ramadan secara pandu lalu atas talian yang dipanggil sebagai ‘S.M.A.R.T Iftar@Perak’ bermula pada 29 April sebaik tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Memetik laporan berkenaan, Nolee Ashilin berkata kerajaan negeri melalui bantuan Digital Perak menyediakan satu e-Platform yang menggabungkan semua peniaga yang berdaftar dengan PBT seluruh negeri yang boleh digunakan bermula 1 Ramadan ini bagi kemudahan mempromosikan produk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 12:00am
    d