mutakhir

Latih empat anak bermain alat muzik tradisional [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah lebih sebulan memberi pelbagai kesan kepada aktiviti harian masyarakat yang terpaksa duduk di dalam rumah.

Bagi keluarga Mohd Khairi Abd Rani, 40, kesempatan itu diisi dengan melakukan aktiviti berfaedah bersama anak-anaknya dengan bermain alat muzik tradisional.

Kini menjadi rutin Khairi bersama empat anaknya termasuk anak bongsu berusia dua tahun turut ‘terjebak’ dalam permainan muzik tradisional itu.

Menurutnya, sepanjang PKP hubungan dia bersama anak-anak semakin rapat apabila disatukan dengan muzik berkenaan.

“Tiga orang anak saya, iaitu Nur Kaseh Danisya, 10, Muhammad Khairil Daim, 8, dan Nur Kaseh Damia, 5, memang saya latih mereka bermain alat muzik sejak berusia dua tahun.

“Tetapi yang bongsu ini Nur Kaseh Dahlia dua tahun lain sikit, dia sendiri yang memegang pemukul gong dan mahu menyertai kakak dan abangnya bermain alat muzik ini. Paling menarik saya tak perlu ajar Dahlia kerana dia dapat mengikut tempo dengan lagu yang dimainkan.

“Cuma masa main Dahlia tak akan melepaskan puting kosong di mulutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang, Hutan Kampung di Alor Setar.

Bercerita lanjut, Khairi yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkata, anak lelakinya kini sudah mampu menguasai kesemua alat permainan muzik tradisional di rumahnya kecuali serunai.

Katanya, antara alat muzik lain adalah gendang ibu, gendang anak, gong dan tamburin.

“Danisya pula boleh main gendang anak, gong dan tamburin manakala Damia dan Dahlia boleh bermain gong dan tamburin.

“Cuma Damia dan Dahlia ini selalu berebut hendak main gong, selalunya Damia akan mengalah dengan Dahlia,” katanya yang merupakan ahli Pegendangan Silat dan Muzik Asli Hutan Kampung.

Khairi berkata, dia sangat gembira apabila anak-anaknya mengikut jejak langkah meminati permainan muzik tradisional yang kini semakin tenggelam ditelan zaman.

Katanya, dia mewarisi kemahiran bermain alat muzik itu daripada bapanya sejak berusia 10 tahun dan berharap semua anaknya akan terus memperjuangkan alat muzik berkenaan sehingga anak cucu mereka pula.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 11:24am
    d