mutakhir

PBT pulang wang pendahuluan peniaga bazar

Oleh Nurul Amanina Suhaini

LAPAN pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor akan memulangkan wang pendahuluan bazar Ramadan tahun ini kepada 3,064 peniaga bernilai RM855,695 dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, manakala lapan PBT lagi tidak berbuat demikian kerana belum menerima apa-apa bayaran dari peniaga bazar bagi tahun 2020 membabitkan 7,293 petak perniagaan.

“Mesyuarat EXCO Johor minggu lalu memutuskan untuk tidak membenarkan termasuk apa juga kaedah bazar Ramadan di negeri ini.

“Tindakan ini selaras dengan ketetapan kerajaan pusat untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah susulan kebimbangan penularan Covid-19.

“Bagaimanapun kerajaan bersetuju untuk membantu mempromosi dan memasarkan produk mereka yang terbabit untuk berniaga dalam talian, selain turut dibantu dua syarikat pengendali platform yang dilantik kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata, mereka yang ingin mempromosi atau memasarkan produk masing-masing perlu menerusi saringan dan tapisan PBT terutama membabitkan kesihatan serta kebersihan premis penyediaan produk makanan.

“Ini adalah gerakan awal atau langkah permulaan kerajaan negeri membantu semua peniaga kecil terbabit secara aktif dalam ekonomi digital.

“Johor memiliki 220 lokasi bazar Ramadan membabitkan 12,000 peniaga berdaftar dengan PBT Johor dan berdasarkan rekod lalu, bazar Ramadan negeri ini mencatatkan nilai jualan melebihi RM200 juta,” katanya.

Beliau berkata, bazar Ramadan menjadi saluran amat diminati semua pihak sama ada yang sudah lama berniaga atau mereka baru berjinak-jinak dalam perniagaan.

“Tentunya tahun ini, kita semua bakal merindui kemeriahan bazar Ramadan seperti rindunya kita pada solat Tarawih, solat hari raya di masjid dan surau termasuk marhaban dari rumah ke rumah iaitu suasana yang pernah kita temui dan lalui sebelum ini.

“Realitinya seluruh dunia terbabit dengan cabaran pandemik Covid-19 dan semua pihak terkesan. Kita tidak boleh berasa selesa, leka atau ambil mudah dengan kemampuan dan prestasi awal yang baik negara mendepani pandemik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 1:03pm
    d