mutakhir

Lupus lebih 3,000 beluncas

Oleh BERNAMA

TAMAN Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS) terpaksa melupuskan lebih 3,000 beluncas daripada pelbagai spesies rama-rama bagi tujuan penjimatan kos sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Eksekutif Hidupan Liar MBRS, Qurratu A’in Rohaminordin, berkata, ia bagi mengehadkan kuantiti beluncas dan meminimumkan penggunaan pokok perumah sekali gus mengurangkan bilangan pekerja makmal pembiakan di taman itu.

“Ada yang dibiakkan sejak lebih 10 tahun lalu, namun terpaksa dihapus dan tidak dilepaskan kerana kesemuanya adalah hasil pembiakan di dalam makmal sepenuhnya yang mungkin akan memberi kesan sampingan kepada kawasan persekitaran sekiranya dilepaskan.

“Beluncas bagi setiap spesies juga memerlukan pokok perumah yang berbeza dan seandainya ia dilepaskan, peluang untuk terus hidup dan menjadi rama-rama amat rendah memandangkan pokok perumah sangat terhad dan sukar dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, taman itu tidak menerima pengunjung seperti biasa sehingga menyebabkan kekurangan pendapatan sedangkan sumber pendapatan utama taman itu bergantung kepada tiket pelawat dalam dan luar negara.

Qurratu A’in berkata, kesan daripada itu, bilangan penjaga hidupan liar di taman itu juga terpaksa dikurangkan, manakala penjaga hidupan liar bekerja secara bergilir-gilir.

“Perkara ini sangatlah perlu memandangkan sejak PKP, MBRS kehilangan sumber pendapatan sehingga mencecah sifar keuntungan, malah taman ini juga menghadapi kerugian sehingga RM300,000.

“Namun, terima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kerana sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan secara konsisten kepada taman ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan dan merasai sendiri pengalaman menyaksikan proses rama-rama keluar daripada kepompong, boleh membuat pembelian kepompong sebenar yang dibiakkan di makmal pembiakan dengan melayari www.butterflyreptile.com atau hubungi 06-2320033.

MBRS ditubuhkan pada 1991, adalah taman zoologi swasta yang berperanan menyelidik dan membiakkan lebih 100 spesies rama-rama dan serangga.

Taman itu juga berjaya membiakkan lebih 200,000 rama-rama setiap tahun.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 3:02pm
    d