mutakhir

Pergerakan penduduk Kampung Baru dihadkan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PERGERAKAN penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur mula dihadkan dengan tidak dibenarkan keluar dari kampung berkenaan oleh pihak berkuasa bermula hari ini.

Penduduk Kampung Baru, Khalili Yunus, 55, berkata, mereka juga hanya dibenarkan untuk membeli barangan keperluan dalam kawasan kampung dengan menaiki motosikal atau berjalan.

“Kami boleh keluar untuk beli barang keperluan, tetapi hanya dengan menunggang motosikal atau berjalan selain tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampung.

“Malah, sekatan jalan raya turut diadakan di tiga lokasi sekitar kampung ini bermula semalam bagi memantau pergerakan penduduk,” katanya dihubungi.

Khalili yang juga pemandu teksi berkata, dia hanya keluar bekerja sekiranya menerima tempahan daripada pelanggan untuk mengurangkan pergerakan.

“Jumlah pelanggan semakin kurang dan saya hanya memperoleh kira-kira RM50 sehari.

“Ia digunakan untuk menyara isteri dan lapan anak memandangkan bantuan insentif diumum kerajaan kepada pemandu teksi belum diterima.

“Sebelum ini, saya sudah membuat ujian saringan Covid-19 pada 11 Mac lalu dan masih menunggu keputusan yang dijangka diperoleh 24 April ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Baru, Putih Md Zain, 60, berkata, keadaan di kampung berkenaan semakin sunyi apabila tidak banyak pergerakan penduduk sejak Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dikuatkuasakan.

“Pada waktu siang, ada beberapa kenderaan dapat dilihat kerana ada penduduk keluar membeli barangan keperluan serta kenderaan yang menghantar barang tetapi apabila menjelang malam, kampung menjadi sunyi.

“Ketika ini, ada lokasi dijadikan sebagai pusat untuk penduduk melakukan ujian saringan Covid-19. Saya, anak dan cucu juga sudah membuat ujian saringan hari ini walaupun kami tidak mengalami sebarang simptom,” katanya yang juga suri rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya mengadakan tiga sekatan jalan raya dalam kawasan Kampung Baru bermula semalam sebagai langkah memperkasakan pelaksanaan PKP di kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan sekatan jalan raya dalam kampung berkenaan bertujuan untuk mengehadkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.

“Namun, sekatan jalan raya itu dibuat bukan disebabkan kampung berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dihubungi.

Tinjauan Harian Metro di kampung berkenaan mendapati terdapat beberapa kenderaan dilihat melalui sekatan jalan raya.

Malah, terdapat tiga lokasi di sekitar kampung berkenaan dijadikan sebagai pusat untuk melakukan ujian saringan terhadap penduduk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 3:54pm
    d