mutakhir

Polis terima laporan VIP langgar PKP [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki; Rohaniza Idris dan Farah Marshita Abdul Patah

LAPORAN polis sudah dibuat berkaitan kumpulan orang kenamaan yang didakwa melanggar Perntah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang berkaitan dengan PKP.

“Saya difahamkan sudah ada laporan polis dibuat, jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa gambar selain kritikan orang ramai yang tular melalui media sosial sejak semalam membabitkan sekumpulan orang kenamaan yang dikatakan menziarah di beberapa tempat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat pagi ini juga memutuskan supaya sebarang mesyuarat agung tahunan syarikat, koperasi, persatuan serta pertubuhan ditangguhkan sehingga tarikh yang ditetapkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, bagaimanapun, pihak terbabit dibenarkan mengadakan mesyuarat secara dalam talian seperti sidang video, sepanjang tempoh PKP.

“Sekarang April, lepas ini Mei dan Jun, kemungkinan banyak mesyuarat agung akan dijalankan. Jika ada yang mahu mengadakan mesyuarat agung tahunan, mereka boleh menjalankan melalui dalam talian. Tujuan kita untuk mengelakkan perkumpulan yang ramai. Saya harap mereka dapat menangguhkan mesyuarat itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 3:54pm
    d