mutakhir

Tiada siapa yang kebal undang-undang

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SESIAPA sahaja termasuk menteri dan timbalan menteri tidak kebal daripada dikenakan tindakan jika sengaja melanggar undang-undang dan peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat menteri mahupun timbalan menteri melakukan demikian.

“Ia bergantung kepada kes. Sekiranya sengaja buat perkumpulan beramai-ramai membabitkan menteri dan timbalan menteri, terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Semua orang tertakluk kepada undang-undang, termasuk menteri dan timbalan menteri, tak ada imuniti terhadap undang-undang,” katanya yang ditemui ketika menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai menteri dan timbalan menteri yang didakwa melanggar PKP selepas dilihat berkumpul beramai-ramai dan makan tanpa penjarakan sosial.

Takiyuddin berkata, pihaknya cuba sehabis baik mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan PKP yang ditetapkan secara praktikal.

“Menteri bermesyuarat setiap hari mengenai isu berkaitan Covid-19 dan selepas selesai mesyuarat, ada yang memerlukan penelitian lanjut termasuklah lawatan dan tinjauan.

“Sebagai contoh satu menteri datang ke satu tempat, akan membabitkan taklimat dan pandangan pelbagai pihak yang perlu diambil menjadikan ramai hadir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 4:19pm
    d