mutakhir

YSD sumbang RM4.4 juta untuk petugas dan pihak memerlukan

Oleh Amir Abd Hamid

YAYASAN Sime Darby (YSD) menyumbangkan dana bantuan bernilai RM4.4 juta kepada petugas barisan hadapan, individu dan komuniti yang terkesan akibat Covid-19.

Tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), rangkaian tindak balas bencana (GDRN), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Malaysia International Search and Rescue (MISAR) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pengerusi YSD Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, daripada jumlah itu, RM3.5 juta sudah disalurkan untuk bekalan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), ventilator kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pharmaniaga Berhad untuk hospital, klinik kesihatan serta petugas barisan hadapan.

“Selain itu, YSD memperuntukkan RM577,840 sebagai kos untuk mengatur gerak sukarelawan perubatan, bantuan untuk petugas barisan hadapan, golongan memerlukan dan serta pusat kuarantin di Terengganu diselaraskan Mercy Malaysia.

“Kos itu meliputi makanan, logistik, penginapan, PPE dan pemeriksaan kesihatan untuk 140 sukarelawan perubatan yang akan berkhidmat di dua hospital kerajaan di Johor dan empat pusat kesihatan daerah di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Tunku Imran, bantuan makanan dan kit kebersihan bernilai RM200,000 juga akan diagihkan kepada golongan memerlukan selain bantuan makanan dan kos pembasmian kuman di pusat-pusat kuarantin di Terengganu bernilai RM38,000.

Selain itu, Tunku Imran berkata, RM195,000 akan disumbang kepada PPUM untuk membeli sarung tangan, perisai muka pakai buang serta pakaian penutup untuk kegunaan petugas barisan hadapan perubatan.

“YSD dengan bantuan MISAR pula akan mengedar cecair pembasmi kuman bernilai RM12,160 kepada anggota pasukan keselamatan di pusat-pusat pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta balai polis.

“Kita turut bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak untuk mengedarkan bantuan makanan bernilai RM10,000 kepada 241 isi rumah Orang Asli di Hutan Simpan Royal Belum.

“Bantuan makanan bernilai masing-masing RM70,000 dan RM21,560 juga diberikan untuk kira-kira 1,000 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta 98 individu berpendapatan rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Tunku Imran, YSD berharap, semua dana bantuan itu dapat digunakan sebaiknya oleh pihak berkenaan dalam membantu golongan yang berisiko daripada segi ekonomi dan fizikal akibat Covid-19 seperti barisan petugas hadapan dan golongan memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 5:09pm
    d