mutakhir

Jualan RM80 juta sepanjang PKP

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEBANYAK 140 outlet di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) termasuk Pasar Segar Terkawal (PST) mencatatkan jualan sebanyak RM80 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jualan itu membabitkan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

“FAMA dan beberapa agensi pemasaran di bawah kementerian ini sentiasa berusaha mengurangkan masalah lebihan pengeluaran.

“Ia disebabkan permintaan yang berkurangan kerana outlet pemasaran yang dikurangkan akibat PKP,” katanya pada sidang media selepas program turun padang di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Kuala Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, Ronald berkata, terdapat lokasi tertentu yang berdepan masalah lebihan pengeluaran kerana outlet berkurangan.

“Seperti contoh, hotel dan restoran tidak beroperasi sepenuhnya menyebabkan permintaan ‘business to business’ (perniagaan ke perniagaan) berkurangan dan sekarang ini, permintaan ‘business to consumer’ (perniagaan ke pelanggan) sahaja,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pendekatan baru seperti perniagaan secara dalam talian rancak digunakan sepanjang tempoh PKP.

“Ketika ini, FAMA sedang berurusan dengan beberapa pemain industri yang menggunakan platform e-commerce untuk membantu pengeluar barang makanan menjalankan perniagaan dalam talian.

“Dengan cara ini, ia diharap dapat mengurangkan isu masalah lebihan pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke kawasan IADA Barat Laut Selangor, Ronald berkata, lawatan itu bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa terjamin dan berterusan.

Katanya, kedudukan negara sebagai pengeluar beras tempatan dan hanya 30 peratus bergantung kepada beras import menunjukkan Malaysia tidak akan berdepan masalah besar dari segi bekalan beras negara walaupun dalam tempoh PKP.

Katanya, Syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) turut memaklumkan beras import dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam adalah berterusan dan tidak terganggu sepanjang tempoh PKP.

“Rakyat diminta tidak melakukan pembelian panik kerana pihak kementerian dan agensi bertanggungjawab terhadap bekalan makanan negara akan memastikan perolehan bekalan makanan sentiasa terjamin dan konsisten,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 5:38pm
    d