mutakhir

Nak tengok pemandangan laut katanya...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

REMAJA perempuan dan dua rakan lelakinya ditahan ketika bersiar-siar di kawasan Pantai Bukit Keluang di Jerteh.

Mereka antara 10 individu berusia 17 hingga 46 tahun yang diberkas kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, ketika ditahan, remaja perempuan berusia 17 tahun itu dan rakannya berusia 20-an memberi alasan mahu melihat pemandangan laut kerana sudah lama tidak berbuat demikian.

“Tujuh lagi individu pula ditahan di sekitar kawasan kampung dan di jalan raya selepas gagal memberi alasan munasabah untuk keluar.

“Kebanyakan mereka ditahan pada waktu malam sedangkan waktu operasi kedai atau pasar raya hanya setakat 6 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rozak berkata, seorang daripada individu itu sudah didakwa di Mahkamah Majistret Besut dan dijatuhi hukuman penjara dua minggu, manakala sembilan lagi masih dalam tempoh tahanan reman.

Katanya, mereka akan didakwa dalam masa terdekat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 6:05pm
    d