mutakhir

Bela nasib golongan gelandangan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

TIADA yang lebih menggembirakan 30 orang gelandangan di Kota Bharu apabila menerima bantuan makanan dan barang keperluan daripada pihak yang prihatin, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Terbaharu, mereka menerima sumbangan daripada gabungan empat badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK); Kelab Sukarelawan (Volunteer I Care), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Hassan@Nawi Draman, 70, yang hidup begitu sejak empat tahun lalu selepas berpisah dengan isteri berkata, dia terpaksa menumpang masjid, surau dan tidur di kaki lima disebabkan tiada tempat lain untuk berteduh.

“Terima kasih atas bantuan ini bolehlah saya mengalas perut,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Pengerusi Misi Kemanusiaan Gelandangan, Dr Johari Yap berkata, program itu digerakkan untuk menyantuni golongan berkenaan yang kurang mendapat perhatian sekali gus menyampaikan maklumat mengenai pengekangan Covid-19.

Katanya, mereka terlebih dahulu melawat beberapa kawasan tumpuan gelandangan di sekitar Masjid Muhammadi sebelum ke lokasi lain di kawasan berdekatan.

“Misi ini untuk menyelesaikan masalah jangka pendek golongan gelandangan dengan membekalkan makanan dan kit kebersihan seperti tuala mandi, sabun, berus gigi dan ubat gigi selain selimut, penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan pakaian terpakai,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MACMA Kelantan berkata, untuk menjamin kebajikan golongan itu ketika PKP ini, pihaknya ada berbincang bagi menempatkan gelandangan berkenaan di penempatan sementara.

“Kita masih berbincang hal ini dan akan meneliti latar belakang golongan itu terlebih dahulu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 6:48pm
    d