mutakhir

Dikompaun RM1,000 tak letak tanda harga

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMILIK sebuah kedai runcit di Tasek Permai, Ampang dikompaun RM1,000 kerana tidak meletak tanda harga pada beberapa barangan jualan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang Mohd Sani Mohammad Nor berkata, empat pegawai memeriksa premis itu, 1.30 tengah hari tadi selepas menerima aduan awam.

“Pemeriksaan mendapati, beberapa barangan keperluan asas tidak diletakkan tanda harga termasuk ubat gigi dan gula.

“Kami mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemiliknya. Kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993,” katanya pada kenyataan.

Mohd Sani berkata, jumlah kompaun RM1,000 itu julung kali dikenakan terhadap peniaga kedai runcit atas kesalahan berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, kami hanya mengeluarkan kompaun RM100 kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan harga terkawal.

“Namun, tindakan ini (mengenakan kompaun RM1,000) diambil terhadap pemilik kedai runcit berkenaan supaya tidak lagi mengambil ringan perkara ini terutama ketika PKP,” katanya.

Beliau berkata, 1,472 premis di seluruh kawasan seliaannya diperiksa sepanjang PKP.

“Setiap hari, kami menerima banyak aduan daripada orang membabitkan pelbagai sektor perniagaan.

“Kami melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap 1,472 premis dalam tempoh berkenaan.

“Daripada keseluruhan pemeriksaan, 29 premis dikompaun dengan nilai keseluruhan RM4,200,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 7:50pm
    d