mutakhir

Polis kawal BSN di Kuching

Oleh Melvin Joni

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersiapsiaga mengawal kebanjiran orang ramai ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk urusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, seramai tujuh pegawai ditugaskan untuk memantau situasi di dua cawangan BSN di Kuching, bermula hari ini.

“Penugasan bermula seawal 8 pagi hingga 3 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, saranan juga diberi kepada BSN supaya mengambil langkah-langkah keselamatan berkaitan wabak Covid-19.

Katanya, BSN memaklumkan hanya dua cawangan BSN yang akan beroperasi iaitu di cawangan Jalan Chan Bee Kiew, Padungan dan di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya.

“Cawangan BSN di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya juga dilawati bagi melihat persediaan pihak cawangan BSN berkenaan untuk menerima kehadiran orang ramai yang membuat urusan BPN,” katanya.

Awang Din berkata, hasil pemantauan di kedua-dua cawangan BSN berkenaan juga mendapati orang ramai beratur dengan menjaga jarak masing-masing mengikut tanda jarak disediakan pihak bank di luar pintu masuk.

Katanya, mereka juga dikawal petugas RELA yang membantu bank mengawal kehadiran orang ramai, selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman dan alat pengukur suhu badan.

“Hanya tiga orang dibenarkan masuk ke dalam bank pada satu-satu masa dan akan berurusan di kaunter bank yang disediakan,” katanya.

Katanya, dianggarkan seramai 141 orang berurusan di BSN Jalan Chan Bee Kiew, manakala 270 orang berurusan di BSN Jalan Bayor Bukit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 9:54pm
    d