mutakhir

Pasaran patin Temerloh terjejas

Oleh Roselan Ab Malek

PEMBEKAL ikan patin di Temerloh terjejas berikutan sebahagian premis restoran dan kedai makan tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengusaha patin sangkar dan pembekal ikan patin Tanjung Kerayong, Shamsul Anuar, 35, berkata, sebanyak 12 tan ikan patin miliknya tidak dapat dipasarkan sepanjang tempok PKP.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan modal tambahan bagi menampung kos makanan sebanyak RM1,500 setiap hari.

Katanya, pasaran ikan patin sangkar memang terjejas dan dia terpaksa buat penghantaran secara terus kepada pelanggan selain ada yang datang sendiri ke sangkar tetapi pasarannya agak terhad.

“Tempoh matang ikan patin untuk dijual antara 700 gram hingga 1.2 kilogram, kini ikan patin yang di sangkar mencecah hampir 1.5 kilogram dan ia kurang diterima pelanggan kerana saiznya yang besar.

“Saya tak tahu nak buat apa. Ikan yang ada sudah besar-besar. Saya tak tahu nak hantar ke mana lagi.

“Saya minta tolong kepada pihak berkaitan yang prihatin dengan keadaan penternak ikan patin sekarang ini untuk membantu memasarkannya” katanya.

Rakannya, Syed Muhammad Ali Syed Mustafa, 38, berkata, pasaran ikan patin sukar dipasarkan walaupun sekadar 10 kilogram setiap hari berbanding sebelum PKP yang mampu dijual sehingga 100 kilogram sehari.

“Stok ikan memang banyak tetapi tidak boleh dipasarkan, jadi kami simpan sahaja ikan dalam sangkar dan terpaksa bagi makan menyebabkan kos menjadi lebih tinggi.

“Sebelum ini kami sudah mempunyai pasaran tetap, membekal ikan kepada kedai makan dan restoran tetapi sekarang semua sudah berhenti operasi buat sementara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tanjung Kerayong, Shuhairi Adani berkata, dia amat simpati dengan nasib pengusaha ikan patin sangkar sepanjang Sungai Pahang dari bandar Temerloh hingga ke Bera,

Menurutnya, walaupun pihaknya cuba membantu mempromosi ikan patin di media sosial tetapi pendapatan mereka masih lagi terjejas dan memerlukan bantuan daripada pihak berkaitan.

Katanya, mereka turut berharap agar Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membantu mempromosi ikan patin dalam tempoh PKP agar nasib penternak itu terbela.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 12:22pm
    d