mutakhir

Kebakaran, panggilan kecemasan menurun

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KES kebakaran dan panggilan kecemasan berkaitan kemalangan atau pembakaran hutan di Terengganu menurun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, berlaku penurunan kes kebakaran sebanyak 52 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Sebanyak 1,306 kes kebakaran berlaku pada Januari hingga awal April pada 2019 berbanding hanya 626 kes kebakaran yang berlaku bagi tempoh sama pada tahun ini.

“Panggilan kecemasan membabitkan kes kebakaran terbuka dan kemalangan juga berlaku penurunan sebanyak enam peratus,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan pelindung muka kepada petugas barisan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JBPM Terengganu di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur (ABPWT) Wakaf Tapai di Marang hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam dan Perkembangan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan negeri Dr Hasnan Arwit dan Komandan ABPWT Abdul Khair Osman.

Md Hilman berkata, penurunan kes kebakaran dan panggilan kecemasan susulan arahan PKP sekali gus menyebabkan kejadian kebakaran dan kemalangan berkurangan.

“Sebelum ini, sebahagian kes kebakaran berlaku berpunca daripada kelalaian suri rumah yang terlupa menutup api dapur ketika memasak.

“Sekarang semua orang berada di rumah oleh itu kes kecuaian seperti itu dan kemalangan di jalan raya boleh dielakkan malah rekod kes kebakaran hutan atau belukar berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka juga menurun,” katanya.

Menurutnya, dia menasihati semua penduduk supaya sentiasa menitik beratkan faktor keselamatan ketika berada di rumah.

“Elakkan daripada menjalankan aktiviti pembakaran terbuka di kebun dan di kawasan rumah kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kes kebakaran tidak terkawal.

“Seramai 600 anggota bomba bersiap sedia menghulurkan bantuan untuk semua kes sepanjang PKP,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 1,500 pelindung muka yang dihasilkan 10 kakitangan ABPWT diserahkan kepada KKM dan JBPM Terengganu.

Sebanyak 600 pelindung muka diserahkan kepada JBPM, manakala 900 diserahkan kepada KKM untuk digunakan petugas barisan hadapan di semua hospital yang terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 2:10pm
    d