mutakhir

'Terima kasih bantu kami sekeluarga' - Pelancong Jerman [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“JIKA diikutkan saya mahu terus tinggal di sini kerana berada di Pulau Kapas jauh lebih selamat daripada pulang ke negara asal,” kata Ralf Nussbaum, 50, seorang daripada 36 pelancong asing yang terkandas di Pulau Kapas susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurutera itu bersama isterinya, Eva Nussbaum, 50, dan dua anak iaitu Louis, 6, dan Lucie, 3, akan pulang ke Jerman pada Selasa ini selepas lebih sebulan berada di Pulau Kapas itu.

Ralf berkata, dia terpaksa pulang ke Jerman kerana Pas Lawatan Sosial mereka tamat tempoh.

“Selepas lebih sebulan berada di sini, pasti kami mengalami masalah kewangan dan perlu pulang segera.

“Keluarga di Jerman juga bimbang akan keselamatan saya, isteri dan dua anak yang masih kecil itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia bertuah kerana terkandas di Pulau Kapas kerana dia dan keluarga menerima layanan yang sangat baik.

“Saya tidak boleh bayangkan sekiranya terkandas di tempat lain, berkemungkinan layanan yang diterima tidak sebaik yang diterima di sini.

“Walaupun kami mempunyai tiket pulang ke Jerman tetapi jika Pejabat Daerah Marang tidak menyediakan pengangkutan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa ini kami tidak boleh pulang.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah Marang kerana membantu menguruskan pengangkutan kami ke KLIA secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Eva berkata, dia tidak akan melupakan jasa baik semua pihak yang memberi kemudahan dan membantu keluarganya sepanjang berada di Pulau Kapas itu.

“Semua orang tempatan dan pengurusan penginapan di pulau memberi layanan yang baik kepada kami sehingga berasa tenang berada di sini.

“Walaupun fikiran kusut memikirkan nasib kami sekeluarga berikutan PKP dan wabak Covid-19 yang menular seluruh dunia itu namun kami tetap berasa tenang kerana mendapat layanan yang baik,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Pas Lawatan Sosial dan wang mencukupi berkemungkinan dia dan keluarganya masih kekal berada di Pulau Kapas sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

“Kali pertama datang ke Pulau Kapas dan Malaysia dan pasti akan melancong semula selepas ini kerana tertarik dengan keindahan, budaya dan kebaikan orang tempatan,” katanya.

Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa menitik berat soal keperluan dan keselamatan pelancong asing yang terkandas di Pulau Kapas.

“Mereka semua datang ke pulau itu sebelum PKP oleh itu terkandas di pulau sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Kami akan membantu mereka setakat yang termampu termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan ke KLIA jika perlu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 3:19pm
    d