mutakhir

Tempoh daftar kelahiran dan kematian dilanjutkan [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SEMUA urusan pendaftaran kelahiran dan kematian bagi warganegara Malaysia dilanjutkan selama 90 hari sejurus tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan bahawa bayaran penalti turut dikecualikan.

Katanya, ini kerana berikutan PKP, semua urusan pendaftaran kelahiran dan kematian tertangguh.

“Untuk kes kehilangan kad pengenalan, sijil kematian dan sijil kelahiran, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh membantu urusan penggantian dokumen berkenaan.

“Mereka perlu membuat temu janji dengan pejabat JPN yang terdekat atau mendaftar dalam tempoh 90 hari selepas tamat tempoh PKP.

“Bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara, tempoh pelanjutan 90 hari ini adalah mengikut tarikh tamat tempoh PKP di negara mereka berada,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, KDN sudah mewartakan 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP selepas mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Penjara sementara ini akan beroperasi bermula 23 April ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu menyediakan petugas kesihatan di 11 penjara sementara ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 3:36pm
    d