mutakhir

Sepakat bantu ibu tunggal

Oleh Nur Izzati Mohamad

KISAH seorang ibu tunggal yang menjaga adik dan anaknya yang kurang upaya (OKU) dekat Kuala Juru, Bukit Mertajam yang tular melalui WhatsApp mendorong seorang wanita berpakat dengan adik-beradiknya untuk menghulurkan bantuan.

Hasnah Akbar, 73, berkata, dia mendapat pesanan melalui WhatsApp mengenai kisah seorang ibu tunggal bernama Umi Kalsom Ree, 58 yang hidup dalam keadaan serba kekurangan bersama ahli keluarganya.

Katanya, lebih meruntun jiwa, wanita itu turut menjaga seorang ibu berusia 80-an yang sudah uzur serta tiga anak saudara lain.

“Selepas terbaca mesej mengenai kisah Umi yang cekal menjalankan tanggungjawabnya, kami terpanggil untuk membantu meringankan beban keluarga wanita itu.

“Jadi, saya berpakat dengan adik-beradik lain untuk mengumpulkan wang dan menghubungi Umi untuk bertanya jenis bantuan yang diperlukan.

“Umi memaklumkan dia memerlukan susu khas dan lampin pakai buang lalu... Saya membelinya dan meminta adik menyerahkan kepada ibu tunggal itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mereka melakukan perkara itu atas dasar keprihatinan, selain memahami keadaan Umi yang memerlukan dan terhimpit ketika melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Umi Kalsom mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai ahli keluarganya.

“Ramai yang tahu mengenai kisah saya ketika mereka menghulurkan bantuan makanan di rumah sempena PKP lalu, ada yang menghubungi untuk turut sama membantu.

“Saya kini menjaga ibu yang sudah uzur serta adik dan anak perempuan berusia 30-an yang hanya mampu terlantar.

“Saya bersyukur kerana mempunyai rakan serta jiran yang amat prihatin membantu,” katanya yang menerima zakat bulanan RM500 dan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia yang kematian suami pada 2014 dahulunya bekerja di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) namun terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada adik serta anaknya yang memerlukan perhatian dan penjagaan rapi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 4:36pm
    d