mutakhir

Barisan hadapan ekonomi juga berjuang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

“SAYA berada di sini hampir setiap hari dan ada masanya memang tak jumpa anak langsung,” luah Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Elektrik dan Elektrikal Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Rosedalina Ramlan.

Beliau antara 60 pegawai agensi kerajaan yang terbabit dalam menguruskan permohonan syarikat untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pusat operasi di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berfungsi untuk memproses permohonan syarikat yang perlu melalui penilaian lanjut.

Ia turut membabitkan agensi berkaitan lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Rosedalina berkata, beliau menyedaritugas yang dilakukan itu adalah penting untuk memastikan kesihatan masyarakat terjaga.

“MITI dan MIDA berada di sini sejak hari pertama PKP dan kami memproses lebih 4,000 permohonan pada minggu pertama dan kedua, manakala lebih 12,000 permohonan untuk PKP fasa ketiga ini, setakat semalam.

“Kami sebagai barisan hadapan ekonomi perlu membuat keputusan yang bukan saja mengikut semua garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi dalam masa sama mahu seimbangkan dengan impak ekonomi dan kelangsungan hidup selepas PKP ini,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata.

Bagi Pengarah Dasar Sektoral MITI, Vimala Murugan berkata, tugas mereka juga memainkan peranan penting kepada ekonomi negara.

“Tugas kami ketika ini boleh dianggap sebagai barisan hadapan ekonomi, namun kami gembira melakukannya kerana usaha ini akhirnya adalah untuk ekonomi negara dan mengatasi masalah pembuangan pekerja.

“Bayangkan kita ada lebih 50,000 syarikat pembuatan dan kita harus menyokong dan memastikan syarikat yang betul-betul terbabit dalam sektor penting beroperasi untuk memastikan masyarakat memperoleh makanan dan perubatan,” katanya.

Pusat Operasi PKP MITI beroperasi 24 jam sehari mula dibuka pada 18 Mac lalu bagi memproses permohonan syarikat yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Sehingga kini, pusat itu memproses lebih 50,000 permohonan daripada syarikat dan pengusaha bagi sektor baharu yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP fasa ketiga.

Antara sektor itu ialah industri automotif, mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional berdaftar, perkhidmatan kedai perkakasan, barangan elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 8:49pm
    d