mutakhir

Dungun tangkapan ingkar PKP tertinggi di Terengganu

Oleh Zaid Salim

DUNGUN menjadi daerah paling tinggi tangkapan membabitkan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa ketiga di Terengganu.

Dungun adalah seramai 45 orang diikuti Kemaman (42), Kuala Terengganu (39), Marang (23), Besut (12), Hulu Terengganu (7) dan Setiu, (4) orang menjadikan keseluruhan tangkapan PKP fasa tiga di negeri itu seramai 172 orang sejak lima hari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata meskipun tahap pematuhan PKP di negeri ini mencapai 97.5 peratus namun masih ada segelintir pihak yang bagaikan sengaja mencabar undang-undang dan tindakan tegas dilakukan pihak berkuasa.

Malah, katanya ada antara mereka langsung tidak menghormati pasukan keselamatan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) apabila enggan memberi kerjasama ketika diperiksa.

“Sejak PKP fasa 1 pada 18 Mac lalu, pelbagai kaedah kita lakukan dan menerusi fasa tiga PKP ini kita menggunakan kaedah lebih tegas iaitu tangkap, reman dan tuduh kepada mereka yang ingkar, namun masih ada di kalangan orang ramai yang seolah ‘kebal’ dengan tindakan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bermula fasa satu hingga kini, seramai 414 individu membabitkan 399 lelaki termasuk 10 warga asing dan 15 wanita ditangkap kerana ingkar PKP.

Menurutnya, Kemaman paling tinggi tangkapan iaitu seramai 131 orang, Kuala Terengganu (98), Dungun (83), Marang (48), Besut (37), Setiu (10) dan Hulu Terengganu, tujuh orang.

“Dalam tempoh itu kita membuka sebanyak 281 kertas siasatan dan 138 sudah dituduh di mahkamah, 122 masih dalam siasatan dan 21 tiada tindakan lanjut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 9:25pm
    d