mutakhir

Warga emas ditahan bersama 50 pil dadah

Oleh Rosli Ilham

PERBUATAN mencurigakan seorang warga emas membawa kepada penemuan 50 biji pil dipercayai dadah selepas dia ditahan polis di Kampung Alur Tembesu, Dungun petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan pada 6.40 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun yang melakukan rondaan Ops Covid-19, terserempak dengan suspek di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan, suspek enggan memberi kerjasama dan berlaku pergelutan sebelum polis membuat pemeriksaan di badan suspek.

“Pemeriksaan di poket belakang seluar suspek menemui kotak rokok di dalamnya berisi 50 biji pil dipercayai dadah,” katanya.

Baharudin berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui empat tiub straw yang berisi pil dan serbuk kristal yang dipercayai dadah serta wang tunai RM365 dipercayai hasil jualan dadah.

“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut dan semakan polis mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan dadah, “katanya.

“Suspek adalah penduduk tempatan dan ketika tangkapan dia sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah terbabit. Dia akan disiasat mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 9:27pm
    d