mutakhir

Pasang, selenggara Internet di zon hijau dibenarkan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KERJA pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan perkhidmatan Internet di zon hijau dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan mengutamakan garis panduan yang ditetapkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, premis yang berada di zon kuning dan merah tidak dibenarkan untuk melakukan kerja berkenaan kecuali yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal sahaja.

“Kerja pemasangan untuk premis yang berada di zon kuning atau merah iaitu mempunyai kes positif jangkitan Covid-19 adalah tidak dibenarkan.

“Untuk kerja pembaikan dan penyelesaian masalah yang dihadapi pula, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang adalah dibenarkan untuk memasuki premis di zon hijau saja.

“Bagi zon kuning serta merah, mereka hanya boleh menyelesaikan masalah sehingga di pusat pengedaran saja dan tindakan memasuki premis di dua zon berkenaan hanya dibenarkan untuk premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal.

“Berhubung kerja penyelenggaraan, kakitangan adalah dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan di zon hijau sementara dua zon lagi, mereka harus menjalankan kerja penyelenggaraan di luar premis melainkan ada keperluan untuk memasuki premis pelanggan,” katanya dalam kenyataan berkenaan, sebentar tadi.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa sebelum petugas dibenarkan menjalankan kerja di premis pelanggan, pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan terlebih dulu.

“Pematuhan terhadap garis panduan untuk interaksi bersama pelanggan yang ditetapkan syarikat penyedia perkhidmatan perlu dipatuhi dan memakai penutup muka dan hidung serta menjaga jarak sosial.

“Keputusan larangan kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di zon kuning serta merah dibuat kerana ia membabitkan kehadiran pihak penyedia perkhidmatan yang perlu memasuki kawasan kediaman pelanggan bagi menjalankan penilaian teknikal tentang ketersediaan premis pelanggan.

“Kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di kawasan zon kuning dan merah amat berisiko dan boleh menyebabkan pekerja dan pelanggan terdedah kepada jangkitan Covid-19 sekali gus mengancam keselamatan kedua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, pelanggan yang menetap di kawasan yang dikategorikan dalam zon kuning dan merah, mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang boleh dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah dengan melayari laman sesawang atau menghubungi terus syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej-pakej berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 12:13am
    d