mutakhir

343,400 terima bantuan Covid-19 di Sabah

Oleh BERNAMA

SERAMAI 343,400 orang sudah menerima bantuan Covid-19 di seluruh Sabah sehingga Jumaat lalu membabitkan peruntukan RM65,241,900.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, antara penerima bantuan itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40, penjaja dan peniaga kecil, pesakit Covid-19, petugas barisan hadapan dan masyarakat.

“Pelaksanaan bantuan berkenaan masih berterusan dan diharap dapat meringankan kesulitan dalam menampung keperluan harian rakyat ketika ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) yang bertanya apakah bantuan yang telah, sedang dan akan diberikan kerajaan negeri kepada rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19 berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Shafie berkata, kerajaan juga telah memberi bantuan kewangan secara sekali bayaran sebanyak RM500 kepada 22,456 ketua isi rumah golongan miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

“Kerajaan menyedari bahawa golongan miskin dan miskin tegar adalah antara golongan yang amat memerlukan bantuan, apatah lagi ketika berhadapan dengan situasi sukar ketika ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan dalam bentuk kewangan dan peralatan daripada syarikat bukan kerajaan, badan berkanun negeri dan sektor swasta khusus untuk menangani wabak Covid-19.

“Setakat ini, jumlah bantuan kewangan yang diterima berjumlah RM11,380,000. Sumbangan ini dimasukkan ke dalam Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri.

“Kerajaan negeri akan memastikan sumbangan ini digunakan khusus untuk perkara-perkara berkaitan Covid-19 di negeri ini. Bagi sumbangan yang diterima dalam bentuk peralatan perlindungan peribadi (PPE), ia sedang diagihkan kepada hospital, klinik kesihatan dan agensi barisan hadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 1:56pm
    d