mutakhir

Covid-19: Pulau Pinang belum boleh gembira lagi [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

PENDUDUK Pulau Pinang dinasihatkan terus mengambil langkah berhati-hati walaupun negeri itu bakal diisytiharkan sebagai sifar Covid-19 kerana tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh lima hari berturut-turut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, pihaknya menyedari penduduk mula menarik nafas lega apabila semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau sepenuhnya tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu diingatkan bahawa Covid-19 adalah virus senyap yang kesannya begitu dahsyat jika tidak berjaga-jaga.

“Kita tahu semua orang gembira melihat data berhubung kes Covid-19 di negeri ini apatah lagi selepas banyak pengorbanan dilakukan antaranya tidak bekerja dan duduk di rumah seperti diarahkan kerajaan.

“Pengorbanan ini akhirnya membuahkan hasil, namun pada masa sama kita tidak boleh terlalu gembira kerana virus ini lain daripada lain yang mana kita perlu berhati-hati pada setiap masa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan atau ditamatkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada wajar PKP ditamatkan di negeri itu, Dr Norlela berkata, beliau menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat penilaian sewajarnya berdasarkan data dan maklumat diperoleh mengenai situasi Covid-19 di Pulau Pinang.

“Soal PKP ditamatkan, dilanjutkan atau dilonggarkan adalah keputusan pihak kerajaan dan KKM bertanggungjawab menyediakan data terperinci serta membuat penilaian kerana wabak ini amat pelik.

“Kita bimbang juga apatah lagi akan menyambut Ramadan di mana sudah pastinya akan ada pergerakan keluar sangat banyak jika tidak ada PKP.

“Tambahan pula, kita tidak tahu sama ada orang yang ditemui itu bebas Covid-19 atau tidak kerana ada pesakit tidak mempunyai simptom,” katanya.

Sehingga kini, Pulau Pinang merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 119 kes dengan 105 pesakit sudah discaj dan 13 kes masih aktif manakala satu kematian pada 22 Mac lalu.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, semua daerah di negeri itu dijangka menjadi zon hijau pada 27 April ini jika tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 3:39pm
    d