mutakhir

TSMCG sumbang peralatan barisan hadapan [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SEKTOR korporat diminta tampil membantu badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat koronavirus baharu (Covid-19).

Setiausaha Agung Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), Noor Zilan Mohamed Noor berkata, sebagai badan amal, pihaknya memerlukan bantuan dana, khususnya untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama barisan hadapan.

Menurutnya, sehingga kini TSMCG mengumpul dana hasil sumbangan 40 ahli yang dianggarkan mencecah RM2.4 juta untuk digunakan membeli penutup hidung dan mulut, perisai muka dan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan barisan hadapan.

Beliau berkata, sejak pandemik maut ini dikesan, pihaknya sudah turun padang menghulurkan bantuan khususnya kepada hospital yang kekurangan peralatan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Saya menyeru orang perseorangan dan syarikat korporat agar sama-sama tampil membantu daripada pelbagai segi agar bantuan segera dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Ahli TSMCG juga sudah menjelajah ke seluruh negara untuk memberikan bantuan kepada barisan hadapan dan golongan yang terkesan akibat Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Pengarah PPUM Profesor Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.

Sumbangan berbentuk penutup hidung dan mulut, perisai muka, PPE serta makanan disumbangkan TSMCG kepada PPUM yang menjadi hospital bagi merawat pesakit Covid-19.

Noor Zilan berkata, sehingga kini TSMCG sudah menyampaikan bantuan makanan di 165 lokasi di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 16,500 individu termasuk asnaf dan golongan B40.

Katanya, jumlah sumbangan termasuk PPE dianggarkan mencecah RM400,000 disalurkan kepada golongan yang memerlukan antaranya PPUM dan hospital lain di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 4:31pm
    d