mutakhir

Kedutaan negara luar perlu jaga kebajikan rakyat mereka [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN berharap kedutaan bagi negara yang kini melaksanakan lockdown supaya menjaga kebajikan rakyat mereka yang terkandas di Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) akan berbincang dengan kedutaan negara yang terbabit bagi urusan penghantaran pulang rakyat mereka.

“Bagaimanapun, kita memahami bagi negara yang sepenuhnya lockdown dan tidak membenarkan rakyat mereka keluar masuk, pihak kedutaan terbabit diharap dapat menjaga kebajikan rakyat mereka di negara ini.

“Kerajaan juga mengalu-alukan usaha negara yang berkenaan untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seramai 13,777 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April.

Katanya, sejak 18 April lalu, 2,182 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

“Bagi mereka yang perlu pulang dan membuat rentas negeri, urusan penghantaran pulang ke kampung halaman masing-masing termasuk rentas negeri akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Mengenai urusan membawa pulang pelajar Malaysia di luar negara pula, beliau berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan Kementerian Luar Negeri.

“Pelajar kita yang masih mempunyai tempat tinggal di negara terkandas boleh terus tinggal di sana dahulu kerana untuk membawa pulang ia bukan sahaja membabitkan kos yang tinggi, malah polisi di setiap negara berbeza dan ketat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 4:38pm
    d