mutakhir

Lelaki tunggang lawan arus antara 25 ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG lelaki bertindak berani menunggang motosikal melawan arus bagi melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan SS9A/1, Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu berkenaan antara 24 individu ditahan di sekitar daerah ini kerana melanggar PKP2.

“Semua yang ditahan gagal memberi alasan munasabah dan membuat pergerakan tidak perlu.

“Semua 25 individu terbabit termasuk warga asing dari warga Indonesia dan Lubnan ditahan di beberapa lokasi di Petaling Jaya antara 9 pagi sehingga 10.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, kebanyakan daripada mereka ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) iaitu di Persiaran Surian - Pelangi Damansara; Plaza Tol Sungai Buloh - Damansara Damai, Plaza Tol Subang - Kelana Jaya dan Plaza Tol PJS 2 – Petaling.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP yang sudah memasuki fasa ketiga sejak 15 April lalu,”katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 5:56pm
    d