mutakhir

Geng proses ketum tumpas

Oleh BERNAMA

POLIS menumpaskan geng memproses air ketum selepas menahan lima lelaki dan merampas 1,800 bungkusan membabitkan 900,000 mililiter (ml) air itu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Iping, Batu Maung, Balik Pulau, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika Unit Kereta Peronda (MPV) membuat rondaan Ops Covid-19 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lima lelaki berusia 19 hingga 25 tahun dilihat sedang berkumpul di luar rumah teres dua tingkat pada 1 pagi.

“Anggota MPV pergi ke rumah terbabit, tetapi mereka melarikan diri masuk ke dalam kediaman sebelum polis memanggil mereka bagi meminta penjelasan mengapa berkumpul ketika pelaksanaan PKP.

“Lima lelaki itu gagal memberi sebarang penjelasan sebelum polis membuat pemeriksaan dalam rumah dan menemui 1,800 bungkusan air ketum bersama pelbagai peralatan seperti dua periuk besar, empat dapur gas, lima tong gas dan alat penimbang,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan daun ketum dari Kedah sebelum memprosesnya di rumah yang disewa ketua sindiket sebanyak tiga kali seminggu sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, sindiket itu memproses kira-kira 1,800 bungkusan air ketum setiap kali memasaknya dan pasaran mereka di sekitar Bayan Baru serta Bayan Lepas, malah mendapat permintaan tinggi semasa tempoh PKP ini.

“Siasatan kami mendapati mereka mula memasak air ketum itu pada sebelah petang hingga malam dan semasa serbuan, lima lelaki berkenaan baru selesai membungkus air ketum itu serta sedang menunggu pelanggan datang mengambil bekalan,” katanya.

Menurutnya, setiap air ketum itu dijual pada harga RM5 sebungkus dan sindiket mampu mengaut keuntungan sehingga RM25,000 setiap minggu kerana mampu menghasilkan sehingga 5,000 bungkusan air ketum dalam tempoh berkenaan.

Katanya, lima lelaki itu mendapat upah RM100 sehari untuk memasak air ketum berkenaan dan ada antara mereka turut berperanan sebagai ‘runner’ untuk menghantar bekalan kepada pelanggan tetap.

“Semua air ketum yang dirampas itu bernilai RM9,000 dan lima suspek termasuk dua daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah direman empat hari bagi membantu siasatan termasuk ingkar PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 6:28pm
    d