mutakhir

Dikompaun RM1,000 gagal letak tanda harga

Oleh Juwan Riduan

PEMILIK kedai runcit di Tanjung Aru, di Kota Kinabalu, dikompaun RM1,000 kerana gagal meletak tanda harga pada barang yang dipamer iaitu tong gas petroleum cecair (LPG).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Taha Julai berkata, tindakan itu dijalankan hasil pemeriksaan tiga pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kota Kinabalu.

“Kedai runcit berkenaan didapati gagal meletak tanda harga pada barang yang dipamer untuk jualan gas LPG.

“Nilai sitaan iaitu berjumlah sebanyak RM375,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas pemilik kedai runcit berkenaan.

“KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan semua barangan kawalan dan barangan perlu ada di pasaran dijual pada harga kawalan serta berpatutan.

“Kegagalan meletak tanda harga boleh menyebabkan pengguna dieksploitasi oleh peniaga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 6:35pm
    d