mutakhir

Padah rentas sempadan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PASANGAN suami isteri yang memilih merentas daerah dari Marang ke Hulu Terengganu untuk ke klinik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Zahari Che Mat, 42, bersama isterinya, Aishah Ismail, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, Zahari dan Aishah didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Kampung Seberang, Bukit Payung, Marang ke jalan yang ditutup di sekatan jalan raya di Kampung Tok Gebok, Ajil, Hulu Terengganu, pada 2 petang, 15 April lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua tertuduh, Suhardi Mukhtar, 41, dan Sayed Alias Tuan Chik, 46, turut mengaku salah atas pertuduhan sama.

Mereka mengaku melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Hulu Terengganu, pada 10 pagi pada 17 April lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan kesemua tertuduh direkodkan, Engku Nurul Ain menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Engku Nurul Ain juga membenarkan mereka diikat jamin RM1,000 setiap seorang.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 7:29pm
    d